Yayasan Kebajikan Negara (YKN) memperkenalkan Anjung Dinamik – Hab Sosial YKN, sebuah inisiatif strategik yang memfokuskan kepada pemerkasaan komuniti secara bersepadu, sempena lawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

Anjung Dinamik dibangunkan sebagai pusat sehenti yang menghimpunkan latihan kemahiran, sokongan psikososial serta peluang penjanaan pendapatan dalam satu ekosistem yang holistik, inklusif dan berimpak tinggi. Inisiatif ini menyasarkan kumpulan B40, ibu tunggal, wanita sebagai pencari nafkah utama, banduan wanita, anak-anak program Anjung Sinar serta golongan rentan lain untuk dibimbing ke arah kehidupan yang lebih stabil dan berdikari.

Berteraskan nilai KASIH – Kasih Sayang, Akhlak Mulia, Sihat, Ilmu dan Harmoni – Anjung Dinamik menawarkan pelbagai kemudahan termasuk Kafe Barista “Ngopi dan Cerita”, Galeri Mekar Dinamik, Bilik Kaunseling Mindness Kasih PSSS, studio podcast Ngopi & Cerita serta kemudahan penginapan melalui Program Anjung Sinar.

Pendekatan bersepadu yang dilaksanakan melalui Anjung Dinamik turut menyokong aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Antara komponen utama, Kafe “Ngopi dan Cerita” berfungsi sebagai platform latihan kemahiran dalam suasana perniagaan sebenar, manakala Galeri Mekar Dinamik membuka peluang kepada kumpulan sasar termasuk banduan wanita, usahawan Wanita Dinamik dan individu OKU untuk memasarkan hasil kreativiti mereka.

Dalam masa sama, Bilik Kaunseling Mindness Kasih PSSS serta platform podcast “Ngopi dan Cerita” memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesihatan mental, isu keganasan rumah tangga, gangguan seksual dan isu-isu sosial semasa.

Sebagai pelengkap kepada ekosistem ini, Penginapan Anjung Sinar disediakan bagi menyokong lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam fasa peralihan ke arah kehidupan berdikari melalui pendekatan pembangunan menyeluruh.

Inisiatif ini turut disokong di bawah Belanjawan 2026 Malaysia MADANI dan akan terus diperkasa melalui peluasan fungsi sebagai hab latihan kemahiran yang lebih komprehensif, termasuk dalam bidang terapi kecantikan, dandanan rambut, jahitan, pembuatan pastri dan kraftangan.

Dengan pembukaan Anjung Dinamik, YKN terus komited dalam membina ekosistem sokongan sosial yang inklusif, mampan dan berimpak tinggi ke arah kesejahteraan masyarakat.