Program Boot Camp Transisi Dinamik Anjung Sinar 2026 terus memperkukuh usaha memperkasa anak-anak lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan kemahiran dan penempatan kerjaya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, pendekatan TVET penting dalam membantu peserta membina masa depan yang lebih terjamin dan berdikari.

Melalui Program Anjung Sinar, pelbagai latihan kemahiran ditawarkan termasuk gunting rambut, kulinari barista, kecantikan dan terapi kesihatan, jahitan, kraftangan serta pembuatan pastri. YKN turut memperluas kerjasama strategik bersama Kulim Hi-Tech Park Skills Centre (KHTPSC) bagi membuka lebih banyak peluang latihan dan pekerjaan dalam sektor industri berteknologi tinggi.

Pada majlis tersebut, seramai 12 peserta menerima surat tawaran latihan kemahiran dan penempatan kerjaya hasil kerjasama Public Islamic Bank Berhad dan KHTPSC, manakala 22 pelajar cemerlang SPM 2025 daripada institusi JKM turut diraikan.

Program Boot Camp Transisi Dinamik Anjung Sinar 2026 siri keempat melibatkan 126 peserta dari seluruh negara. Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, Program Anjung Sinar telah memberi manfaat kepada 1,058 peserta daripada 21 institusi JKM melalui pelbagai inisiatif pembangunan diri, latihan kemahiran dan peluang kerjaya.