Seramai 22 peserta telah mendaftar untuk menyertai Program Latihan Kemahiran dan Penempatan Kerjaya yang dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Public Islamic Bank Berhad (PIBB) dan Kulim Hi-Tech Park Skills Centre (KHTPSC).

Melalui program ini, peserta akan mengikuti Kursus Teknologi Pembuatan yang dirangka bagi memenuhi keperluan industri semasa dan meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron turut hadir menyampaikan amanat kepada peserta, meninjau proses pendaftaran serta melawat kemudahan asrama yang disediakan sepanjang tempoh latihan.

Sebagai galakan dan sokongan awal, para peserta turut menerima sumbangan tunai bagi membantu persediaan sebelum memulakan latihan.

Program ini diharap dapat menjadi platform berkesan dalam memperkukuh kemahiran, membangunkan potensi diri dan membuka peluang pekerjaan yang lebih mampan, sekali gus membantu peserta membina masa depan yang lebih sejahtera.