YKN PERKASA WARGA KERJA MELALUI PROGRAM PEMBANGUNAN DIRI DAN PENGUKUHAN ORGANISASI 2026

BANTING, SELANGOR, 21–22 Januari 2026 – Yayasan Kebajikan Negara (YKN) telah menganjurkan Program Kenali Potensi Diri Warga Kerja YKN Tahun 2026 sebagai usaha memperkukuh pemahaman diri, kerjasama pasukan serta kesiapsiagaan warga kerja dalam mendepani cabaran organisasi.

Sepanjang dua hari pelaksanaan, warga YKN didedahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif dan reflektif yang memberi fokus kepada pengenalan emosi, nilai peribadi, corak pemikiran, kekuatan diri serta pembinaan komunikasi dan kerjasama berpasukan.

Program ini turut memberi penekanan terhadap peranan setiap warga YKN dalam memahami fungsi organisasi, memperkukuh usaha pembangunan sumber dana kebajikan serta memastikan penyampaian perkhidmatan YKN terus berkesan dan mampan.

Turut berlangsung ialah Majlis Makan Malam dan Penghargaan Warga YKN sebagai tanda penghargaan atas komitmen, dedikasi dan sumbangan warga kerja sepanjang tahun 2025. Majlis tersebut turut mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat kebersamaan melalui pelbagai persembahan daripada setiap bahagian.

Pada Perhimpunan Bulanan YKN Bilangan 1 Tahun 2026, Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Puan Nordina Haron dalam amanatnya menekankan kepentingan memperkasa potensi diri warga kerja, memperluaskan kefahaman terhadap peranan YKN serta memperkukuh usaha menjamin kelangsungan program kebajikan.

Perhimpunan tersebut turut menyaksikan pengumuman penstrukturan semula organisasi YKN, penyampaian penghargaan kepada warga yang telah berkhidmat selama 10, 15 dan 20 tahun serta pengumuman barisan Ahli Jawatankuasa Kelab Staf YKN bagi sesi baharu.