KONSERT ROCKQUEEN ELLA SALUR RM20,000 KEPADA YKN

Kuala Lumpur, 14 Februari 2026 – Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menerima sumbangan berjumlah RM20,000 hasil kutipan RM2 daripada setiap pembelian tiket Konsert Rockqueen Majlis Tertinggi Ella 2026 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sumbangan telah disampaikan oleh Ella, bersama suaminya Azhar Ghazali dan pihak Hitman Solutions kepada Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Puan Nordina Haron, pada penghujung konsert yang menghimpunkan lebih 40,000 penonton. Turut hadir ialah YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi YKN, serta Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff.

Dana yang disumbangkan akan dimanfaatkan bagi menyokong pelaksanaan program kebajikan YKN di seluruh negara. Selain itu, tajaan tiket konsert turut memberi peluang kepada kumpulan sasar termasuk penghuni institusi kebajikan, Anjung Singgah dan Pusat Transit Gelandangan untuk menikmati persembahan tersebut.