

KULIM, 12 Mei 2026 – Yayasan Kebajikan Negara (YKN) meneruskan kerjasama strategik dengan Public Islamic Bank Berhad (PIBB) dan Kulim Hi-Tech Park Skills Centre (KHTPSC) melalui Program Latihan Kemahiran dan Penempatan Kerjaya bagi membuka peluang pembangunan kemahiran serta laluan kerjaya kepada anak-anak kumpulan sasar YKN.
Program berkenaan dimulakan dengan sesi taklimat di Sungai Petani, Kedah sebagai persediaan awal sebelum peserta menghadiri sesi temu duga. Melalui sesi ini, peserta diberikan penerangan mengenai program latihan yang ditawarkan, proses pemilihan serta peluang kerjaya yang tersedia.
Sesi temu duga kemudiannya diadakan di Kulim pada 12 Mei 2026. Selain menjalani proses pemilihan, peserta turut berpeluang melihat kemudahan serta suasana pembelajaran dan latihan di KHTPSC.
Program ini memberi tumpuan kepada golongan muda daripada keluarga kumpulan sasar YKN, termasuk peserta Program Anjung Sinar. Peserta yang terpilih akan mengikuti latihan kemahiran yang bersesuaian sebagai persediaan untuk memasuki alam pekerjaan.
Menerusi kerjasama ini, PIBB bertindak sebagai penaja program, manakala KHTPSC menyediakan latihan kemahiran serta membantu membuka peluang penempatan kerjaya. YKN pula bertanggungjawab menyelaras penyertaan anak-anak kumpulan sasar yang layak untuk mengikuti program berkenaan.
Kerjasama strategik ini merupakan usaha bersama untuk melengkapkan golongan muda dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri, sekali gus membantu mereka membina masa hadapan yang lebih stabil, berdikari dan berdaya saing.

















