Anjung Singgah Perak kini berfungsi sebagai pusat sehenti agihan makanan berpusat kepada golongan gelandangan di Bandaraya Ipoh bagi memastikan bantuan disalurkan secara lebih tersusun, sistematik dan berkesan.

Inisiatif yang dilaksanakan dengan sokongan Kerajaan Negeri Perak serta kerjasama pelbagai agensi kerajaan, NGO dan rakan strategik ini bertujuan memperkemas penyelarasan bantuan, mengelakkan pertindihan agihan serta membantu mengenal pasti keperluan sebenar golongan sasar.

Selain agihan makanan, Anjung Singgah Perak turut menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan termasuk khidmat kaunseling oleh Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) YKN, pemeriksaan kesihatan dan rujukan bantuan kebajikan. Maklumat yang diperoleh melalui inisiatif ini akan digunakan bagi memperkukuh program intervensi sosial dan menyokong usaha membantu golongan gelandangan menjalani kehidupan yang lebih stabil dan berdikari.

Program agihan makanan ini diadakan setiap hari dari jam 8.00 malam hingga 11.00 malam di hadapan premis Anjung Singgah Perak.