BOOT CAMP TRANSISI DINAMIK ANJUNG SINAR 2026

SERDANG, SELANGOR, 16–19 Mei 2026 – YKN telah menganjurkan Program Boot Camp Transisi Dinamik Anjung Sinar 2026 yang menghimpunkan seramai 116 orang peserta dalam kalangan anak-anak institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Program selama empat hari tiga malam ini dirangka bagi membina keyakinan diri, mengenal pasti potensi, membentuk hala tuju masa depan serta memperkasakan peserta sebagai persediaan menghadapi alam pendidikan, latihan kemahiran dan kerjaya.

Sebagai edisi keempat sejak diperkenalkan pada tahun 2023, program ini menawarkan pelbagai pengisian pembangunan diri yang komprehensif merangkumi sesi Kenali Potensi Diri, Kenali Hala Tuju dan Minat Kerjaya, pembangunan personaliti, motivasi serta aktiviti berkumpulan yang membantu peserta mengenali kekuatan diri dan meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, disiplin, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan.

Antara pengisian utama ialah aktiviti Rise to Success (Explorace) yang dijalankan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan bimbingan fasilitator UPM dan Yayasan Kebajikan Negara. Program turut diserikan dengan sesi Kenali Diri & Hargai Potensi yang menampilkan perkongsian inspirasi daripada alumni Anjung Sinar. Melalui pengalaman sebenar mereka, peserta didedahkan kepada kepentingan pendidikan, pembangunan diri dan ketabahan dalam membina kehidupan yang lebih positif dan berdikari.

Bagi menyemai aspirasi pendidikan tinggi, peserta turut mengikuti slot Kenali Kehidupan @ Kampus di Universiti Putra Malaysia (UPM), termasuk lawatan ke Fakulti Pengajian Pendidikan, Dewan Konvokesyen, Perpustakaan Sultan Abdul Samad dan Menara Jam. Pendedahan ini memberi pengalaman sebenar kehidupan kampus serta menjadi suntikan motivasi agar peserta berani menetapkan cita-cita dan yakin bahawa pendidikan mampu mengubah masa depan mereka.

Program ini turut memberi penekanan kepada aspek kesejahteraan emosi melalui sambutan hari lahir khas kepada peserta yang lahir pada bulan berkenaan. Inisiatif tersebut bukan sekadar satu sambutan, malah bertujuan menyemai rasa dihargai, disayangi dan diterima dalam kalangan anak-anak institusi sebagai sebahagian daripada pembangunan sahsiah dan emosi mereka.

Pada hari terakhir program, peserta mengikuti Slot Inspirasi Sinar serta sesi perkongsian peluang pendidikan dan latihan kemahiran bersama GIATMARA, Proton, UPU Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Putra Malaysia. Majlis penutup telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Puan Nordina Haron. Program ini membuktikan komitmen berterusan YKN bersama rakan strategik dalam memperkasakan anak-anak institusi JKM agar lebih bersedia melangkah ke alam pendidikan, pekerjaan dan kehidupan berdikari dengan penuh keyakinan.