

PUTRAJAYA, 22 Mei 2026 – Kelab Staf YKN telah menganjurkan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil sebagai salah satu pengisian rohani bagi menyemarakkan semangat kebersamaan serta membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha.
Majlis yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Faizal Sudin Ali dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan itu dimulakan dengan bacaan Yasin dan tahlil sebelum diteruskan dengan sesi tazkirah sempena ketibaan Aidiladha.
Dalam tazkirah yang disampaikan, penekanan diberikan kepada nilai-nilai pengorbanan, keikhlasan dan amanah sebagai asas penting dalam kehidupan seharian, khususnya dalam melaksanakan tanggungjawab menyantuni dan membantu golongan yang memerlukan.
Penganjuran program ini bukan sahaja mengukuhkan penghayatan nilai-nilai murni dalam kalangan warga YKN, malah menjadi wadah untuk menyemai semangat kasih sayang, keinsafan dan komitmen dalam meneruskan amanah kebajikan demi kesejahteraan masyarakat.









