

DENGKIL, 4 Mei 2026 – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN), YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah YKN Bil. 1/2026 bagi membincangkan hala tuju strategik serta perancangan jangka pendek dan jangka panjang YKN.
Mesyuarat yang dihadiri oleh Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan barisan pengurusan kanan YKN itu turut meneliti perkembangan pelaksanaan inisiatif kebajikan serta usaha meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada kumpulan sasar.
Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Puan Nordina Haron membentangkan laporan pelaksanaan program utama sepanjang suku pertama tahun 2026, termasuk perkembangan projek dan inisiatif di bawah seliaan YKN.
Antara inisiatif yang dibentangkan ialah Anjung Dinamik, Anjung Kasih, Program Mindness Tour Kaunseling Kasih Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), Mekar Dinamik @ WBB YKN dan Anjung Sinar. Pelaksanaan inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada penyediaan sokongan sosial, kesejahteraan mental, pembangunan kemahiran dan pemerkasaan golongan yang memerlukan.
Mesyuarat turut membincangkan usaha memperluas jaringan kerjasama strategik dengan sektor korporat dan pelbagai pihak melalui pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mampan serta memenuhi keperluan kumpulan sasar.






