

KUALA LUMPUR, 24–25 Februari 2026 – Yayasan Kebajikan Negara (YKN) telah menganjurkan Program YKN Kasih Ramadan: HER Journey, sebuah program intervensi sosial yang menghimpunkan 100 remaja perempuan berusia 15 hingga 19 tahun daripada institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan peserta Anjung Sinar YKN. Program ini bertujuan memperkukuh pembangunan sahsiah, kesejahteraan emosi, keselamatan diri serta membina keyakinan dan kemahiran hidup dalam kalangan peserta.
Program telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi YKN. Antara pengisian utama ialah slot kaunseling “Kami Dengar, Kami Bantu” oleh Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), sesi “Kenali, Fahami dan Laporkan” bersama SAC Puan Siti Kamsiah Hassan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak), Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberi pendedahan mengenai jenayah seksual, keselamatan diri, keselamatan digital dan saluran pelaporan, serta sesi inspirasi Journey of Hope bersama Wan Sharmila dan Ustazah Muzayyanah Abdullah yang dikendalikan oleh Lin Ariffin dari Zayan FM.
Kemuncak program pada 25 Februari 2026 menyaksikan para peserta dibawa membeli-belah kelengkapan Aidilfitri di SOGO Kuala Lumpur hasil kerjasama rakan-rakan strategik. Program ini mendapat sokongan Alliance Islamic Bank, KOP Mantap Berhad, Rockqueen, Dutch Lady, Gardenia, SLAE dan Nabeylla.






































































