TIMBALAN MENTERI KPWKM TINJAU PENGOPERASIAN ANJUNG KASIH YKN HOSPITAL PULAU PINANG

PULAU PINANG, 13 Mei 2026  – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Puan Lim Hui Ying telah mengadakan lawatan kerja dan sesi libat urus ke Anjung Kasih YKN Hospital Pulau Pinang bagi meninjau pengoperasian kemudahan yang menyediakan penginapan sementara secara percuma kepada waris pesakit dan pesakit yang menerima rawatan di hospital kerajaan.

Lawatan tersebut turut diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Puan Nordina Haron bersama pihak pengurusan Hospital Pulau Pinang. Sesi ini memberi peluang untuk meneliti pelaksanaan perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan kepada penghuni Anjung Kasih.

Sejak mula beroperasi pada tahun 2019, Anjung Kasih Hospital Pulau Pinang yang mempunyai kapasiti 72 katil telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 penghuni, khususnya golongan B40 serta pesakit dan waris yang datang dari kawasan jauh bagi mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Dalam majlis yang sama, turut disampaikan sumbangan berbentuk mock cheque berjumlah RM20,900, hasil kutipan tabung sumbangan ikhlas daripada penghuni dan orang ramai. Dana tersebut akan digunakan semula bagi tujuan penyelenggaraan serta penambahbaikan kemudahan Anjung Kasih untuk memastikan keselesaan penghuni terus terpelihara.